Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Tan Wee Kiong-Goh V Shem, teruja untuk bergandingan semula buat kali kedua bagi saingan Kejohanan Dunia di Jepun yang bakal berlangsung 22 hingga 28 Ogos ini.

Wee Kiong berkongsi bahawa walaupun meraih pingat perak Sukan Olimpik serta merupakan bekas beregu nombor satu dunia, mereka masih belum berjaya menjuarai kejohanan dunia.

V Shem-Wee Kiong merupakan salah satu daripada tiga gandingan daripada Malaysia yang telah berjaya disenaraikan dalam 48 gandingan bagi kejohanan dunia pada 26 April lalu.

"Apabila bersaing dalam Kejohanan Dunia, sasaran utama adalah meraih pingat, itu adalah sasaran yang pertama," kata Wee Kiong.

Dua gandingan lagi daripada Malaysia merupakan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Pada edisi kejohanan dunia yang lalu, V Shem-Wee Kiong membuat keputusan sama untuk berganding semula bagaimanapun hanya mampu mara sehingga aksi suku akhir dan tewas kepada gandingan naib juara daripada China, He Jiting-Tan Qiang.