Waktu untuk skuad badminton negara kembali mencabar kejuaraan utama dunia akan kembali dengan sokongan dan kesabaran daripada peminat badminton tanah air.

Itu pandangan daripada beregu campuran profesional nombor satu negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, yang memahami keluhan rakyat Malaysia.

Selepas kejayaan memenangi tiga pingat perak dalam Sukan Olimpik Rio 2016, tidak ada peningkatkan mendadak seperti yang diharapkan.

Namun, Peng Soon meramalkan perebutan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan meningkatkan kembali prestasi badminton negara.

"Yang pertama sekali, saya mahu berterima kasih kepada mereka (peminat) kerana menyokong kami.

"Mungkin belum sampai masanya lagi.

"Sewaktu Sukan Olimpik Rio, tidak ramai yang menyangka kami akan masuk final.

"Maksudnya, ia samalah," katanya.

Dalam pada itu, Liu Ying berasakan acara beregu campuran masih boleh dijadikan sandaran untuk Malaysia memburu kejuaraan.

Ia di sebalik kegagalan wakil negara dalam kategori itu mencipta impak dalam Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland, yang berakhir semalam.

"Saya rasa masih ada peluang.

"Walaupun bertemu gandingan ketiga atau keempat (dunia), peluang itu masih ada, cuma ia bergantung kepada prestasi pada hari itu (perlawanan).

"Bukan kami sahaja, gandingan negara yang lain juga boleh buat.

"Paling penting ialah siapa lagi konsisten.

"Jadi, ia adalah kunci utama untuk kami layak ke Sukan Olimpik," tambahnya.