Pengarah Kejurulatihan Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky mengesahkan perseorangan negara, Ng Tze Yong mengumumkan penarikan dirinya dari Sepanyol Masters susulan masih dibelenggu kesan kesakitan dari kecederaan 'slip disk' susulan pembedahan kecil yang dilakukan pada bahagian pinggang belakangnya sebelum ini.

Jelas kelihatan pada raut wajahnya, penguasaan gelanggang Tze Yong masih lagi berada pada keadaan tidak memberangsangkan dan masih dilihat tidak selesa berada di gelanggang.

Malah, penurunan ranking dari semasa ke semasa terus menggugat impian perseorangan negara tersebut untuk layak ke pentas Olimpik apabila kini hanya berjaya menghuni ranking ke 18 dunia.

" Peluang untuk dia(Ng Tze Yong) ke Sukan Olimpik semakin tipis, kita perlukan keajaiban untuk dia mampu lepas ke Olimpik.

" Dari ranking ke 15 , rankingnya terus jatuh ke 18, makin merisaukan kem badminton negara untuk meyaksikan dia ke pentas Olimpik, " ujar Rexy.