Arena badminton negara saban tahun disajikan dengan cerita mengenai pemain muda berbakat besar tetapi perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, menerbitkan sensasi istimewa, terutama selepas menjuarai Cabaran Antarabangsa Belgium di Leuven hujung minggu lalu.

Terdahulu, legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, pernah melabelkan pemain berusia 21 tahun itu sebagai penggantinya selepas Tze Yong mempamerkan aksi cemerlang dalam Piala Sudirman dan Piala Thomas bulan lalu.

Bagaimanapun, Tze Yong, yang melonjak ke tangga ke-68 daripada ranking ke-82 dalam kemaskini terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam, tidak mahu terbuai dengan pujian dan kejayaan yang diraihnya, sebaliknya mahu kekal fokus terhadap misi peribadinya untuk menempatkan diri dalam kelompok 30 terbaik dunia.

Mengenai kedudukan ranking terbarunya, dia berkata kepada wartawan Nadi Arena, Karl Nunis: "Sudah pasti saya amat gembira kerana apabila anda memasuki kelompok 100 terbaik dunia, amat sukar untuk melonjakkan kedudukan ranking.

"Anda memerlukan keputusan yang baik untuk melakukannya, jadi saya fikir ia bukan sesuatu yang mudah.

"Saya perlu menjadi juara dalam kejohanan yang akan datang kerana hanya itu caranya untuk melonjakkan ranking dengan cepat. Jika tidak dapat (muncul juara), ia agak susah.

"Saya menyasarkan untuk berada dalam kelompok 30 terbaik dunia kerana dengan itu, saya akan dapat bermain di kejohanan yang bertaraf tinggi.

"Saya harap dapat beraksi dalam kejohanan yang lebih besar agar dapat melihat bagaimana standard sebenar saya.

"Saya memberikan diri saya tempoh dua tahun untuk berada di tahap terbaik," katanya.