Spekulasi bertiup kencang mengenai juara Sukan Olimpik Sydney 2000, Tony Gunawan, yang dikatakan akan menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selaku jurulatih beregu campuran.

Spekulasi itu kian kuat selepas BAM akan memanggil satu sidang akhbar esok bagi mengumumkan perubahan dalam bahagian beregu campuran.

Sebelum ini, BAM turut diberitakan mencari seorang jurulatih untuk bahagian berkenaan bagi menggantikan Paulus Firman, yang tidak melanjutkan kontraknya.

Tony Gunawan berpasangan dengan Chandra Wijaya ketika meraih pingat emas Sukan Olimpik 2000 untuk Indonesia.

Dia memiliki reputasi hebat selaku pemain dengan muncul juara dunia sebanyak dua kali bergandingan dengan pasangan berbeza.

Gelaran dunia pertamanya adalah ketika berpasangan dengan Halim Hariyanto di Sevilla, Sepanyol pada 2001.

Dia kemudian kembali bergelar juara dunia ketika mewakili Amerika Syarikat bersama Howard Bach pada 2005.

Kredit foto: Facebook Tony Gunawan