Bekas pemain beregu negara, Tan Boon Heong, menyeru Lee Zii Jia agar menjadikan segala permainan minda lawan sebagai sumber kekuatan untuk melonjakkan permainannya.

Di Nadi Arena tadi, Boon Heong mengakui provokasi lawan hanya akan membuatkan semangat mana-mana pemain handalan dari Kedah membuak-buak selepas ikrar pemain Perancis, Brice Leverdez, untuk terus menghantui peminat Malaysia.

Zii Jia meningkatkan kepantasan permainannya untuk menghukum pemain berusia 35 tahun itu dengan kemenangan 21-17, 21-5, bagi melolosi cabaran Kumpulan M, sebentar tadi.

"Kami memang pantang, kalau kena perang psikologi memang tidak tahan, kena lawan balik.

"Tapi bagus juga sebab Brice pun dah tua, kalau hendak main betul-betul dia pun (sedar) tidak boleh menang jadi dia mula lancarkan perang saraf tapi Zii Jia boleh tanganinya.

"Saya rasa sangat gembira sebab sekarang ini ramai orang tinggal (duduk) dekat rumah (sebab COVID-19). Kita akan beri sokongannya habis-habisan tidak kira apa jua keputusannya," katanya ketika menjadi tetamu khas di Nadi Arena hari ini.

Bahkan, seteru pusingan 16 yang akan dihadapi petang esok, Chen Long, mengambil pendekatan berhati-hati dengan mencanangkan kualiti dimiliki pemain kelapan dunia itu selain masih kabur dengan misi mempertahankan pingat emasnya sejurus menewaskan pencabar dari Sepanyol, Pablo Abian, dalam saingan Kumpulan N.





"Zii Jia sebagai pemain baru (dalam Sukan Olimpik) mungkin tidak rasa tekanan sangat. Bagi Chen Long ini mungkin (penyertaan) Sukan Olimpik terakhirnya.

"Walaupun dia ada pengalaman, Zii Jia ada peluang untuk menang.

"Lagipun angin di gelanggang (Plaza Sukan Musashino Forest) agak kuat, susah hendak main rali jadi untuk Zii Jia ada kelebihan sebab dia gemar menyerang.

"Biasanya di gelanggang ini memang susah untuk Chen Long bermain rali," katanya Boon Heong lagi.