Beregu wanita, Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan, melepasi fasa kegemuruhan untuk tampil lebih mencabar ketika berdepan pencabar nombor satu dunia, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota, dalam aksi kedua Kumpulan A, esok.

Bagaimanapun, perasaan terkilan itu tetap timbul apabila mereka gagal mengulangi kejayaan menundukkan beregu Indonesia, Greysia Polii-Rahayu Apriyani, di Plaza Sukan Musashino Forest, pagi tadi.

Selepas tumpas 14-21, 17-21 dalam 47 minit, mereka tiada masa untuk diselubungi kekecewaan dalam misi memahat kenangan lebih bermakna di Jepun.





"Kami mendahului pada awal permainan, selepas itu pihak lawan mula menukar taktik hingga tidak memberi banyak ruang untuk kami bertahan selain membuatkan kami tidak selesa.

"Kami tidak dapat mengekang strategi kami, namun kami masih mampu menonjolkan rentak yang kami mahukan.

"Kami terlalu gemuruh memandangkan ini perlawanan pertama kami.

"Bermula esok prestasi kami pasti akan makin bagus," kata Meng Yean.

Mei Kuan turut bersependapat dengan rakan sepasukannya apabila berkata: " Mereka memperlahankan permainan hingga menjejaskan rentak kami."