Pasangan perlayar wanita negara, Juni Karimah Noor Jamali dan Nuraisyah Jamil, memperbaiki kedudukan keseluruhan mereka dalam dua perlumbaan terakhir acara International 470 hari ini.

Selepas perlumbaan kesembilan dan ke-10 itu ditunda akibat cuaca buruk di Pelabuhan Enoshima semalam, ia ternyata memberikan sedikit tuah buat pasangan negara berkenaan untuk memperbaiki kedudukan ke tangga ke-19 keseluruhan daripada 21 negara bertanding.

Juni Karimah dan Nuraisyah menamatkan perlumbaan kesembilan di tangga ke-17 sebelum cemerlang mengakhir saingan ke-10 di tempat ke-11.

Bagaimanapun, mereka perlu mengucapkan selamat tinggal kepada edisi kali ini memandangkan hanya 10 peserta terbaik layak menyertai perlumbaan perebutan pingat.