Pelbagai reaksi dan persoalan yang dilontarkan terhadap isu wang pampasan yang diberikan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kepada jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia.

Bekas perseorangan nombor satu dunia, Roslin Hashim, berpendapat bahawa BAM tidak perlu bertindak sedemikian biar pun nilai yang bakal diberikan masih belum diputuskan.

"Pada pendapat saya, seharusnya perkara ini tidak berlaku antara atlet dan persatuan sukan walaupun melibatkan sebarang penaja kerana pemain tersebut juga mewakili negara," kata Roslin.

Dalam masa yang sama, Roslin turut mempersoalkan mengapa pemain profesional yang lain tidak diberi layanan yang sama.

"Pemain profesional yang lain seperti Cheam June Wei dan Goh Jin Wei juga berada dalam senarai pemain yang akan mewakili negara dalam saingan Piala Thomas dan Piala Uber. Mengapa mereka juga tidak diberi wang pampasan seperti Lee Zii Jia?" soalnya.

Menjelang aksi Piala Thomas yang bakal berlangsung 5 Mei ini, Roslin turut menganggap prestasi memukau yang ditampilkan oleh gandingan beregu lelaki negara, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei, yang muncul sebagai naib juara Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China, sebagai tonik terbaik bagi menghadapi saingan itu.

"Ianya satu perkembangan yang baik untuk mereka berdua kerana mereka sudah mendapatkan kembali rentak dan persefahaman selepas digandingkan semula pada tahun lalu," katanya.