Beregu wanita negara, M. Thinaah, berkata dia dan pasangannya, Pearly Tan memerlukan waktu untuk mengembalikan momentum mereka selepas menjuarai Terbuka Perancis awal bulan ini.

Justeru, Thinaah tidak mahu meletakkan sasaran tinggi di kejohanan penutup musim, Jelajah BWF Akhir bermula 7 Disember ini.

"Kami berehat selepas tamat saingan di Eropah dan minggu ini baru sahaja mula berlatih. Saya berasakan kami memerlukan masa untuk mendapatkan momentum untuk beraksi di tahap terbaik," kata Thinaah.

Pasangan beregu wanita negara yang kini berjaya naik satu anak tangga ke ranking kelapan dunia tidak menganggap ia sebagai satu tiket untuk mereka leka sebaliknya perlu berhati-hati dalam setiap perlawanan.

"Berada di kedudukan meletakkan kami dalam undian yang lebih kerana hadir sebagai pilihan. Ia turut membenarkan beraksi dalam kejohanan yang lebih baik sekaligus memberikan pengalaman yang baik buat kami," katanya lagi menerusi Nadi Arena.

Sementara itu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan pertukaran tarikh dan venue baru ke Bangkok, Thailand dan bermula pada 7 hingga 11 Disember.

Ini selepas wujud kerisauan berkenaan keselamatan pemain akibat peningkatan kes COVID-19 di Guangzhou, China, Jelajah BWF Akhir sepatutnya bermula pada 14 Disember 2022.