Lee Zii Jia muncul wakil tunggal Malaysia ke final Kejohanan Badminton Terbuka Thailand selepas menewaskan rakan senegara, Liew Daren, dalam aksi separuh akhir di Impact Arena, Bangkok hari ini.

Turun selaku pilihan keenam, Zii Jia mengatasi Daren dalam saingan sengit sepanjang set pertama untuk meraih kemenangan 21-16.

Bagaimanapun, Daren, yang akan berusia 35 tahun pada Ogos ini, bangkit untuk memenangi set kedua 21-13.

Tatkala masalah kepenatan mula mengganggu Daren, Zii Jia memanfaatkan kelebihan yang ada untuk mencatatkan kemenangan 21-14 dalam set penantuan, sekali gus akan bertemu pemain China daripada pusingan kelayakan, Li Shi Feng, dalam perebutan kejuaraan esok.



Dalam pada itu, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, terkandas dalam separuh akhir selepas tewas kepada wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, 19-21, 14-21 dalam masa 34 minit.

Turut tidak dapat meneruskan kemaraan adalah beregu wanita, Pearly Tan- M. Thinaah, yang tewas 17-21, 17-21 kepada gandingan pilihan keenam dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.