Selepas tersingkir dalam suku akhir Kejohanan Badminton Seluruh England kepada Lakshya Sen, Lee Zii Jia berpeluang untuk menebus kekecewaannya dengan segera apabila turun selaku pilihan utama Terbuka Switzerland yang bermula esok.

Zii Jia tumpas 20-22, 21-16, 19-21 menentang pemain India itu dalam perlawanan yang cukup sengit.

Walaupun kekalahan itu perit, pemain Malaysia itu memilih untuk mengambil sikap positif menjelang acara Super 300 berkenaan di mana dia berpeluang memburu kejuaraan pertamanya musim ini.

“Saya adalah pilihan utama Terbuka Switzerland. Ia sekali lagi akan menjadi minggu yang sukar. Saya perlu menyegarkan diri, bermula semula sambil berharap saya dapat membawa perkara positif dari sini (Seluruh England) ke Terbuka Switzerland,” katanya.



Zii Jia merupakan pilihan utama memandangkan merupakan pemain di ranking tertinggi dalam acara Super 300 itu, namun pemain nombor 10 dunia itu tidak semestinya dijamin laluan mudah.

Dia akan menentang Su Li-yang dari Taiwan dalam pusingan pertama tetapi mungkin berdepan K.Srikanth atau Wang Tzu-wei yang boleh menjadi duri dalam daging buatnya.

Sen juga akan beraksi dalam kejohanan ini di samping Chou Tien-chen dan Christo Popov yang kesemuanya merupakan pencabar handalan, manakala Leong Jun Hao merupakan satu lagi wakil Malaysia.