Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kembali mempamerkan permainan matang apabila mengesahkan kemaraan ke suku akhir Kejuaraan Badminton Terbuka Switzerland Super 300 di Saint Jakobshalle, Basel awal pagi Jumaat.

Gandingan nombor sembilan dunia itu mara selepas menyingkirkan cabaran beregu dari India, Sathish Kumar Karunakaran-Aadya Variyath straight set 21-17, 21-14 di pusingan kedua.

Tang Jie-Ee Wei, pilihan ketiga kejuaraan akan berdepan wakil Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran di suku akhir.

Supak-Supissara, beregu campuran nombor 18 dunia mara selepas menewaskan wakil Taiwan, Chang Ko Chi-Lee Chih Chen, straight set 21-19, 21-10 dalam masa 38 minit.

Turut mara beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie juga pilihan kelapan selepas menewaskan pasangan dari Jepun, Hiroki Nishi-Akari Sato.

Bagaimanapun Soon Huat-Shevon Lai diajak mengharungi permainan tiga set sebelum dapat menghantar beregu nombor 35 dunia itu pulang dengan kemenangan, 21-17, 19-21, 21-11 dalam masa 56 minit.

Kemenangan menyakinkan itu membolehkan Soon Huat-Shevon Lai berstatus nombor 14 dunia menempah slot berdepan pilihan keempat kejuaraan dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje.

Christiansen-Boje sebelum itu menghantar pulang pasangan Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dari Indonesia, straight set 21-19, 21-16 dalam masa 44 minit.

Cabaran Chan Peng Soon- Cheah Yee See pula berakhir selepas tewas beregu dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dalam perlawanan berintensiti tinggi.

Peng Soon-Yee See yang tewas set pertama 22-24, bangkit menyamakan kedudukan 21-11, sebelum mengalah mengalah 21-19 dalam masa 37 minit.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa beregu lelaki negara di Siri Jelajah Badminton Dunia kali ini bermula dengan persembahan konsisten Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian yang mengesahkan slot suku akhir.

Haikal-Hon Jian, juara Masters Orleans menang straight set ke atas beregu Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa-Nga 21-12, 21-17 dalam tempoh 33 minit bagi berdepan beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Turut mara, Man Wei Chong-Kai Wun Tee yang menewaskan rakan senegara, Yap Roy King-Wan Arif Junaidi, 21-10, 21-11 dalam masa 31 minit bagi mengesah slot berdepan gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin.

Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin sebelum itu menewaskan beregu negara Low Hang Yee-Ng Eng Cheong, 16-21, 21-13, 21-12 dalam masa 62 minit.

Prestasi tidak konsisten terus membelenggu gandingan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dari Thailand.

Sze Fei-Nur Izzuddin gagal mempertahankan kemenangan 21-17 set pertama apabila tewas dua set berikutnya 21-19, 21-15 dalam masa 64 minit.-Sinar