Lee Zii Jia terkandas dalam pusingan pertama Terbuka Perancis, sebentar tadi.

Pemain profesional yang baru mendaki ranking kedua dunia itu gagal mengatasi rintangan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito.

Begitupun, prestasi kurang menjadi Zii Jia -- yang datuknya baru meninggal dunia -- di Stade Pierre de Coubertin menyebabkannya bergelut dalam set pertama sebelum tumbang 19-21.

Pemain kelahiran Kedah berusia 24 tahun itu memperkemaskan permainan dengan menerajui saingan set kedua saingan bertaraf Super 750 itu dengan mendahului selesa 11-6, tetapi prestasi berkenaan sukar dipertahankan apabila kerap terjerat dengan kesilapan sendiri.

Peluang itu digunakan sebaiknya Shesar untuk mengikat kedudukan 16-16 selepas memungut tiga mata berturut-turut.

Dan dia menambah lagi rentetan tiga mata sebelum menyingkirkan Zii Jia dalam tempoh 44 minit, sekali gus mengundang kekecewaannya selepas muncul finalis Terbuka Denmark, Ahad lalu.