Hari terakhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2022 terus suram sejak persaraan Datuk Lee Chong Wei tiada sebarang wakil negara akan beraksi di Axiata Arena, Bukit Jalil, esok.

Chong Wei merupakan pemain terakhir yang menjuarai gelaran di depan penyokong sendiri pada 2018 sementara edisi 2020 dan 2021 dibatalkan berikutan penularan COVID-19.

Begitupun, hasrat untuk melihat perebutan gelaran di antara beregu lelaki negara tidak kesampaian apabila kedua-duanya terkandas di peringkat separuh akhir hari ini.

Selepas Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dibayangi kehandalan Fajar Alfian-Rian Ardianto apabila tunduk 14-21, 12-21, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengikut langkah sumbang itu ketika berdepan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, sebentar tadi.

Aaron-Wooi Yik tidak diberi ruang untuk menghasilkan permainan terbaik masing-masing apabila ditewaskan 21-23, 9-21, sekali gus masih dihantui badi tiga kekalahan terakhir.

"Set kedua kami banyak melakukan kesilapan mudah, kami banyak bagi mata kepada lawan.

"Kami bukan di bawah tekanan.

"Memandangkan kami kalah dalam set pertama walaupun pernah mendahului, selepas itu mungkin kami agak terburu-buru dalam set kedua.

"Saya masih tidak berpuas hati, sentiasa (terkandas) dekat separuh akhir, sentiasa masalah yang sama.

"Sudah beberapa kejohanan masih lagi masalah yang sama," kata Aaron selepas perlawanan.