Lawan pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia iaitu bintang muda Jepun, Kodai Naraoka berkongsi bersama Nadi Arena yang dia telah melakukan persiapan rapi untuk berdepan perhitungan pusingan pertama selepas dia berdepan masalah kecederaan ketika Kejohanan All Japan dua minggu lalu.

Menyedari Zii Jia seorang pemain yang agresif, Naraoka sudah ada strategi tersendiri bagi membuka ruang buatnya memungut mata demi mata.

"Zii Jia merupakan pemain yang mempunyai smash yang bagus dan saya akan cuba mengelak daripada memberikannya peluang untuk melakukan sedemikian. Saya banyak menjalani latihan di gim dan sedang menyesuaikan diri dengan kekuatan baru saya selain saya sudahpun pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang diperoleh ketika beraksi di Jepun lalu," katanya.