Berikutan kegagalan pemain beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, layak ke final Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, Hafiz Hashim tetap memberikan reaksi positif apabila sangat berpuas hati dengan persembahan ditampilkan kedua-duanya.

Juara All England 2003 optimis akan tiba masanya beregu negara mampu mengecapi kejuaraan pada masa akan datang jika persediaan mental diperkukuhkan.

"Saya sangat berpuas hati tapi tidak di tahap maksima.

"Kalau mereka juara, saya tersangat berpuas hati.

"Kalau mereka mencapai juara, sudah tentu mereka tunjukkan persembahan yang bagus, kalau tidak macam mana boleh jadi juara.

"Sebelum ini mereka banyak terkandas dalam separuh akhir, selepas ini saya nak tengok mentaliti mereka tentang macam mana nak pecahkan badi ini.

"Tiba-tiba masuk final dan menang, dari situlah keyakinan akan ada. Ketika itu bolehlah kita cakap inilah gelaran buat mereka kerana sudah pecahkan badi itu," katanya di Astro Arena sebentar tadi.




Dalam masa sama, Hafiz berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus giat mencari keseimbangan antara pemain agar prestasi tidak menentu mereka dapat diatasi.

"Selama ini orang cakap Wooi Yik paling kerap buat hal, tapi semalam Wooi Yik sangat bagus, Aaron pula (tenggelam).

"Ada jurang di antara rakan sepasukan ini. Beregu perlukan persefahaman dan kombinasi. Kedua-dua pemain kena bagus," katanya.