Pemain Jepun, Kento Momota, tidak akan beraksi dalam Terbuka Malaysia tahun ini selepas menarik diri berikutan gejala seakan-akan influenza dan tempatnya akan diambil oleh pemain profesional negara, Liew Daren, daripada senarai simpanan.

Penyertaan Momota amat dinanti-nantikan selepas dia kembali beraksi dalam Jelajah Dunia buat kali pertama sejak Ogos lalu.

Tetapi naib juara Terbuka Malaysia itu perlu menunggu masa sedikit lagi untuk memulakan musim 2023 selepas Persatuan Badminton Jepun mengumumkan berita berkenaan di media sosial mereka.

Momota dijadualkan menentang pemain Perancis, Toma Junior Popov, dan berpotensi bertemu Viktor Axelsen dalam pusingan kedua.

Pemain berusia 28 tahun itu baru-baru ini mengungguli Kejohanan Kebangsaan Jepun sambil mengisytiharkan kini lebih mantap.

Selain Momota, pemain beregu wanita Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara, turut menarik diri.

Taraf Terbuka Malaysia 2023 yang dinaikkan kepada Super 1000 masih akan menampilkan pelbagai nama kelas dunia termasuk Lee Zii Jia, Loh Kean Yew dan Akane Yamaguchi.