Pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren, mencipta kejutan apabila buat kali pertama menyingkirkan bintang badminton dunia, Lin Dan, dalam pusingan pertama Kejohanan Terbuka Korea Selatan di Incheon, hari ini.

Pemain berusia 32 tahun itu mengalahkan juara dunia lima kali dari China berkenaan 21-19, 21-14 dalam masa 43 minit selepas tewas dalam dua pertemuan sebelum ini, iaitu dalam Piala Thomas 2012 dan Terbuka Jepun 2014.

"Hari ini, saya bermain dengan lebih baik berbanding beberapa kejohanan sebelum ini.

"Harap-harap dapat meningkatkan prestasi serta memperbaiki permainan selepas ini. Bagaimanapun, hari ini keadaan tidak begitu selesa kerana saya menghidap selesema.

"Saya harap dapat bermain dengan baik dalam perlawanan demi perlawanan selepas ini. Saya tidak memikirkan terlalu banyak apabila berdepan dengan Lin Dan tetapi cuba melakukan lebih banyak serangan," katanya.

Daren, selaku pemain di ranking ke-33 dunia, akan berdepan pemain nombor 30 dunia, P. Kashyap, dalam pusingan kedua selepas pemain India itu mengetepikan pemain Taiwan, Lu Chia Hung, 21-16, 21-16.

Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, turut melangkah ke pusingan kedua selepas mudah menewaskan pemain Thailand, Suppanyu Avihingsanon, 21-7, 21-15 dalam masa 34 minit.

Dalam pada itu, perseorangan wanita negara, Soniia Cheah, tersingkir awal apabila tumpas di tangan pemain Indonesia, ​​​​​​​Gregoria Mariska Tunjung, 15-21, 12-21.

Beregu perofesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, turut melangkah ke pusingan kedua dengan mengetepikan satu lagi beregu negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, 16-21, 21-13, 21-16.

Pasangan itu akan bertemu pilihan utama kejohanan, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, selepas wakil Indonesia itu mengalahkan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, 22-24, 21-10, 21-13.

-- BERNAMA