Lee Zii Jia memulakan cabaran bagi baki lima wakil negara untuk memburu kemaraan ke suku akhir Terbuka Jerman, sebentar tadi.

Perseorangan lelaki profesional negara itu menerima tentangan sengit daripada jaguh Perancis, Christo Popov, di pertengahan pertarungan sebelum meniti laluan kemenangan 21-13, 18-21, 21-12.

Bahagian beregu lelaki negara pula memiliki dua wakil menerusi Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menyingkirkan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, semalam selain kehadiran gandingan profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Cabaran beregu wanita dan campuran negara juga masih bernyala apabila Vivian Hoo-Lim Chiew Sien dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan terus berjuang di gelanggang Innogy Sporthalle itu.