Terbuka Jepun: Semua wakil Malaysia gugur dalam suku akhir

Shaiful Shamsudin
September 2, 2022 07:09 MYT
Malaysia menutup Kejohanan Badminton Terbuka Jepun menerusi pencapaian ke suku akhir selepas ketiga-tiga wakil terakhir tunduk kepada lawan masing-masing di Osaka, sebentar tadi.
Beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, terlebih dahulu tidak mampu menjelmakan saingan sengit kepada pilihan keempat, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping, dari China menerusi kekalahan straight set 16-21, 15-21.
Selepas itu, satu lagi beregu campuran negara gugur apabila Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei tumbang 10-21, 13-21 kepada bekas juara dunia yang merupakan pilihan utama dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qion.
Beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, kemudian berpeluang menebus dua kehampaan awal itu apabila memenangi set pertama 21-17 ketika bertemu Choi Sol Gyu-Kim Won Ho.
Tetapi dengan memberi pertahanan jitu, lawan dari Korea Selatan itu membawa permainan set penentuan apabila menang 21-17.
Pencabar di kedudukan ke-34 berbanding Yew Sin-Ee Yi di ranking kesembilan dunia itu kemudian beralih kepada taktik menyerang untuk mengungguli set ketiga 21-13 untuk menamatkan pertarungan berkenaan dalam tempoh satu 12 minit.
#badminton #Terbuka Malaysia