Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia, mengatur pertemuan dengan Juara Dunia 2021, Loh Kean Yew di suku akhir saingan Terbuka Indonesia.

Berdepan Sameer Verma dari India dalam pertemuan ketujuh mereka, Zii Jia telah meraih kemenangan empat kali namun kali terakhir mereka bersaing, Verma berjaya mengalahkan Zii Jia.

Kali ini, pemain perseorangan nombor satu Malaysia itu tidak membuang masa dan terus mendominasi permainan.

Set pertama menyaksikan Zii Jia membuka jurang tujuh mata hasil kesilapan oleh Verma dan jurang tersebut semakin besar buat Zii Jia sebelum menoktahkan kemenangan 21-10.

Di set kedua, Verma tampil lebih garang untuk memastikan jurang dengan Zii Jia hanya dua mata.

Tapi selepas Zii Jia berjaya menjarakkan diri sebanyak tujuh mata, ia sekaligus menutup harapan buat Verma dan memastikan Zii Jia melangkah ke pusingan berikutnya dengan kemenangan 21-13.

Sementara itu, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik terpaksa beraksi hingga ke set penentuan sebelum boleh menundukkan lawan dari Belanda, Ruben Jille dan Ties van der Lecq.

Aaron-Wooi Yik menampilkan aksi hebat di set pertama dengan kemenangan 21-17 namun pasangan belanda berjaya bangkit di set kedua dengan kemenangan 16-21.

Impian Aaron-Wooi Yik untuk menamatkan saingan dalam straight sets tidak kesampaian bila terpaksa beraksi di set ketiga namun di set ketiga pasangan Malaysia mencatat kemenangan mudah 21-6.