Perjalanan pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia, berjaya melangkah ke separuh akhir Terbuka Indonesia apabila mengatasi juara dunia 2021 Loh Kean Yew, dalam aksi penuh mendebarkan di Stadium Gelora Bung Karno sebentar tadi.

Zii Jia melangkah ke separuh akhir menerusi kemenangan 21-18, 16-21, 22-20 dan bakal bertemu antara wakil Denmark, Viktor Axelsen atau wakil tuan rumah, Anthony Sinisuka Ginting.

Permulaan yang rancak di set pertama menyaksikan kedua-dua pemain saling mengutip mata demi mata, sebelum Zii Jia menggunakan peluang untuk mendahului sebelum memastikan set pertama.

Kean Yew yang merupakan pemain kelahiran Pulau Pinang, meningkatkan rentak permainan di set kedua, berjaya mendahului permainan 4-0 sebelum mengawal setiap gerakan sementara Zii Jia yang kerap melakukan kesilapan sebelum tewas 16-21.

Skrip yang sama berlaku dalam set penentuan, Zii Jia yang kerap memberikan mata kepada pemain lawan berusaha untuk memperbaiki rentak permainan hingga berjaya menyamakan kedudukan 20-20.

Dua mata berturut-turut diperoleh Zii Jia memastikan kemenangan sekaligus melangkah ke separuh akhir.

Wakil tunggal negara dalam kategori beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tampil untuk bertemu Pramudia Kusumawardana serta Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan, buat kali kedua dalam kerjaya masing-masing.

Malangnya statistik menyebelahi pasangan tuan rumah yang pernah mengalahkan beregu Malaysia itu di Kejohanan Asia bulan lalu.

Perlawanan bermula sengit dengan kedua-dua pasukan saling mengikat mata.

Namun Aaron-Wooi Yik gagal mengekang asakan demi asakan lawan mereka sehingga terlalu jauh ketinggalan. Akhirnya set pertama milik lawan Indonesia 21-14.

Set kedua, Aaron-Yooi Yik tampil lebih dominan dengan penguasaan gelanggang yang cekap sehingga berjaya mendahului 9-6.

Jurang tiga mata itu menjadi semakin lebar selepas Aaron dan Wooi Yik menerima nasihat daripada jurulatih mereka.

Walaupun Kusumawardana dan Rambitan berjaya meraih enam lagi mata, Aaron-Wooi Yik gah menamatkan saingan 21-12 sekaligus memaksa set penentuan.

Satu lagi aksi sengit menanti Aaron dan Wooi Yik di set ketiga, yang menyaksikan mereka ketinggalan lima mata pada satu ketika.

Namun semangat juang Aaron dan Wooi Yik memastikan jarak tersebut dikurangkan ke satu mata sahaja.

Tapi malangnya wakil Indonesia mengalami kecederaan ketika keputusan 20-18 memihak kepada mereka. Meskipun beberapa percubaan, pemain Indonesia itu tidak dapat menyambung semula perlawanan sekaligus menghadiahkan kemenangan 22-20 kepada pasangan Malaysia.