Dia beregu lelaki negara mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka India selepas menewaskan lawan masing-masing di New Delhi sebentar tadi.

Beregu juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, meneruskan kemaraan selepas diberi tentangan hebat oleh gandingan Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan.

Turun selaku pilihan ketiga, Aaron dan Wooi Yik, bagaimanapun, tewas 15-21 dalam set pertama sebelum bergelut mencatatkan kemenangan 21-19, 21-19 dalam dua set berikutnya selepas bertarung selama 56 minit.

Mereka seterusnya akan bertemu rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, bagi perebutan tempat ke separuh akhir esok.



Yew-Sin dan Ee Yi mara ke suku akhir selepas menewaskan wakil Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren.

Beregu profesional itu, yang juga merupakan pilihan ketujuh kejohanan, mencatatkan kemenangan 21-16, 13-21, 21-19 dalam masa 57 minit.

Pertembungan dua beregu berkenaan esok secara tidak langsung memastikan akan ada wakil negara yang akan layak ke separuh akhir kejohanan berkenaan.