Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Hylo selepas menewaskan pemain Ireland, Nhat Nguyen, di Saarbrucken, Jerman sebentar tadi.

Dengan reputasi sebagai pilihan kedua kejohanan, bintang negara itu bergelut untuk menewaskan pemain bukan pilihan dari Sepanyol, Pablo Abian, dalam pusingan pertama semalam tetapi hanya memerlukan 38 minit untuk menundukkan lawan di ranking ke-55 dunia, Nguyen.

Nguyen, bagaimanapun, memberikan tentangan sengit dalam set pertama dengan mengikat kedudukan pada angka 20 tetapi melepaskan dua mata terakhir kepada Zii Jia.

Wakil negara berusia 23 tahun berkenaan, yang merupakan juara Kejohanan Seluruh England 2021, mempamerkan aksi lebih kemas dalam set kedua dan mendahului 11-5 sebelum memacu mata demi mata untuk mengesahkan kemenangan 21-16.

Zii Jia seterusnya akan berdepan pemain pilihan kelapan dari Thailand, Kantaphon Wangcharoen, dalam perebutan tempat ke separuh akhir esok.



Kredit foto: Badminton Photo

Keputusan lain:

Beregu campuran:
Hoo Pang Ron-Cheah Yee See kk Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 10-21, 19-21
Goh Soon Huat-Shevon Lai kk Niclas Nohr-Amalie Magelund 14-21, 15-21