Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, melangkah penuh bergaya ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Hylo selepas menewaskan pilihan kelapan dari Thailand, Kantaphon Wangcharoen, dengan keputusan straight set di Saarbruken, Jerman sebentar tadi.

Selepas bergelut dalam dua perlawanan pertama, pilihan kedua kejohanan itu mempamerkan aksi lebih meyakinkan untuk menamatkan pertarungan selama 41 minit itu dengan kemenangan bergaya.

Sejak pukulan pertama, Zii Jia tidak pernah ketinggalan sebelum mendahului 15-7 dan menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-13.

Bagaimanapun, masalah fokus kembali mengganggu pemain berusia 23 tahun itu sehingga pada satu ketika ketinggalan 10 mata di kedudukan 16 -6 dalam set kedua.

Namun, juara Kejohanan Seluruh England itu mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk memperoleh 11 mata berturut-turut dan mendahului 17-16 sebelum menamatkan saingan menarik itu dengan kemenangan 22-20.

Seterusnya, wakil negara itu akan bertemu sama ada pemain pilihan ketiga dari Hong Kong, Angus Ng Ka Long, atau pilihan keenam dari India, K. Srikanth, dalam penentuan ke final.


*Kredit foto: Badminton Photo