Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, terpaksa melupakan gelaran juara Kejohananan Badminton Terbuka Hylo selepas menarik diri gara-gara kecederaan belakang dalam set ketiga perlawanan final menentang wakil Singapura, Loh Kean Yew, di Jerman awal pagi tadi.

Kean Yew dinobatkan sebagai juara dengan keputusan 19-21, 21-13, 17-12 selepas bertarung selama 64 minit menakala Zii Jia pula tidak dapat menambah koleksi kejuaraannya selepas memenangi Kejohanan Seluruh England pada Mac lalu.

Zii Jia bermula baik untuk mendahului Kean Yow -- yang menewaskannya dalam pusingan pertama Terbuka Perancis minggu lalu -- 11-7 sebelum kembali dikejar rapat 17-18.

Bagaimanapun, perseorangan negara itu mengekalkan fokusnya untuk memenangi set pembukaan itu 21-19.

Set kedua juga pada awalnya kelihatan seakan-akan bakal menjadi milik Zii Jia, yang pada satu ketika mendahulu 9-5, tetapi Kean Yow mempamerkan kebangkitan menakjubkan untuk menyamakan kedudukan 9-9 dan mencatatkan kemenangan 21-13 untuk mengheret pertarungan ke set penentuan.

Aksi dalam set ketiga berlangsung sengit, di mana Kean Yew mendahului 11-10 dan Zii Jia pula mula kelihatan bergelut dengan kecederaan belakangnya ketika melakukan smash.

Loh akhirnya dinobatkan sebagai juara ketika mendahului 17-12 apabila Zii Jia tidak dapat meneruskan saingan kerana kecederaan itu.



*Kredit foto: Badminton Photo