Penganjuran Kejohanan Badminton Seluruh England digemparkan dengan kes positif COVID-19 membabitkan pemain, sehari sebelum aksi pembuka tirai hari ini.

Impaknya buat masa ini, saingan pusingan pertama ditangguhkan lima jam lebih lewat daripada jadual asal.

Perkembangan itu disahkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerusi satu perkongsian, awal pagi tadi.

Kenyataan daripada badan induk itu turut menyebut sebilangan besar ujian pandemik yang dijalankan tidak menghasilkan keputusan memuaskan.

Ia di sebalik kes terpencil positiv yang direkodkan dan dalam masa sama, mereka yang terbabit akan terus dipantau serta diasingkan.


World No.1 Kento Momota ?? to open Main Court action at YONEX All England Open Badminton Championships. Order of Play ? http://bit.ly/3vzoWCx ? Badmintonphoto

Posted by BWF — Badminton World Federation on Wednesday, March 17, 2021


Berbeza dengan saingan Jelajah Asia di Bangkok, Thailand, Januari lalu, penganjur Seluruh England tidak melaksanakan kuarantin.

Dalam pada itu, wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani, sempat berbicara dengan pemain beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia, yang tidak beraksi dalam Seluruh England.

Ia satu keputusan tepat dibuat bersama gandingannya Soh Wooi Yik yang memilih untuk tidak ke Birmingham, di sebalik kes positif COVID-19 dalam penganjuran kejohanan itu.

"Tiada keputusan betul atau salah tapi bagi kami, Seluruh England tidak menawarkan mata Sukan Olimpik, lagipun kes (COVID-19) agak tinggi di sana.

"Walaupun (dianjurkan) secara gelembung sukan, tetapi ia tidak begitu ketat seperti dalam kejohanan di Thailand (Januari lalu)," katanya.

Namun, Aaron mahu mengukuhkan peluang ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan, apabila berhasrat menyertai Terbuka India yang akan berlangsung 11 hingga 16 Mei depan.

"Kami harap dapat suntikan vaksin lebih awal sebelum menyertai Terbuka India sebab ia menawarkan mata ke Sukan Olimpik.

"Kes di sana juga tinggi, jadi ia sangat penting."