Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, memilih Viktor Axelsen dan Anders Antonsen sebagai rakan sepelatih menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Denmark dan Kejohanan Terbuka Perancis bulan depan.

Pemain di ranking keempat dunia itu akan berlepas ke Denmark pada 9 Oktober ini bagi menjalani latihan khas selama seminggu sebelum kejohanan di negara itu membuka tirai.

Zii Jia, yang kini sudah bebas sepenuhnya daripada kecederaan, turut menyasarkan untuk memintas kedudukan Kento Momota di ranking kedua dunia menjelang penghujung musim ini.

Tambahnya, tiada sebarang rasa sesalan untuknya selepas menarik diri daripada Sukan Komanwel Birmingham awal bulan lalu berikutan kecederaan yang dialaminya dalam Terbuka Thailand pada Mei lalu.

"Saya rasa ia lebih kepada (untuk) fokus saya kerana ia nampaknya masih belum stabil, jadi saya rasa ia sesuatu yang perlu saya kuatkan," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly.

"Saya akan bertanding dalam kedua-dua kejohanan itu dan bekemungkinan juga dalam Terbuka Jerman dan Australia.

"Saya perlu melihat mata untuk ke Kejohanan Jelajah Dunia Final kerana saya sudah melepaskan dua kejohanan sebelum ini, jadi perlu untuk mengejar mata.

"Sasaran saya adalah untuk berada di tangga kedua ranking dunia kerana kita sedia maklum, jika mata ranking tidak lagi dibekukan, saya kini merupakan pemain nombor dua dunia, jadi saya perlu bertahan sehingga penghujung tahun ini.

"Bagi saya, saya tidak menyesal dengan keputusan yang saya pilih dalam Sukan Komanwel kerana mereka juga dapat beraksi baik dan mendapatkan pingat emas tanpa saya.

"Saya fikir, ia tiada sebarang kesan sama ada saya ada bersama mereka atau tidak, jadi saya rasa ia bukan satu isu yang amat besar.

"Saya harap semua orang tidak mengambilnya terlalu serius kerana sewaktu itu, saya benar-benar sedang mengalami kecederaan dan tiada pilihan.

"Kalau boleh memang saya mahu bermain tetapi adakalanya perkara seperti ini akan berlaku dan ia menjejaskan segalanya," katanya.