Gandingan juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, terkandas dalam separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark selepas tewas aksi tiga set kepada beregu pilihan kedua dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo di Jyske Arena sebentar tadi.

Aksi berlangsung sengit di antara dua beregu terbaik dunia itu, di mana kedua-duanya saling berkejaran mata sejak awal set pertama tetapi arus perlawanan mula memihak Gideon dan Kevin sebaik kedudukan terikat 15-15 sebelum menang 21-17.

Kebangkitan mula dipamerkan Aaron dan Wooi Yok dalam set kedua, di mana mereka tidak pernah ketinggalan sejak dari awal sebelum menang 21-13, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Aksi kembali sengit dalam set ketiga, bahkan Aaron dan Wooi Yik -- yang menjuarai Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun pada Ogos lalu -- beberapa kali berada di depan tetapi akhirnya terpaksa akur menamatkan pertarungan selama 51 minit itu dengan kekalahan 17-21 dalam set terakhir.