Selepas layak beraksi sehingga ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia BWF di Copenhagen, Denmark minggu lalu, beregu wanita negara, Anna Cheong, kini lebih bersedia untuk menghadapi saingan bersama pasangannya, Teoh Mei Xing.

Kejohanan dunia merupakan aksi pertama Anna kembali bergandingan dengan Mei Xing selepas mengalami kecederaan anterior cruciate leigamet (ACL) tahun lalu.

Menurut Anna, proses pemulihannya masih berjalan sehingga hari ini walaupun sudah 100 peratus bebas daripada kecederaan berkenaan.

Mengakui perlu menempuhi jadual yang agak padat, Anna kini lebih bersedia untuk menghadapi Kejohanan Badminton Terbuka China minggu depan sebelum akan ke Hong Kong selepas saingan berkenaan.

"Pemulihan masih perlu dilakukan setiap hari tetapi kondisi saya masih baik dan boleh bermain," katanya kepada wartawan Astro Arena, Syifa Nasir.

"Saya rasa agak baik dan tiada sebarang kesakitan di kaki saya.

"Saya perlu memiliki persediaan diri yang baik dan barulah kami boleh pergi jauh.

"Kami perlu mengeluarkan segala yang kami ada," katanya.