Pengarah Kejurulatihan Bahagian Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, mengesahkan barisan pemain negara akan beraksi dalam Kejohanan Badminton Terbuka Australia selepas sebelum ini dilaporkan mengalami masalah permohonan visa.

Kejohanan Super 300 itu akan membuka tirai Selasa ini dan ia merupakan kejohanan Jelajah BWF terakhir sebelum Kejohanan Jelajah Dunia Final di Guangzhou bulan depan.

Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, akan memulakan kempen dengan berdepan pemain nombor 10 dunia, Kunlavut Vitidsarn, dan mengulas mengenai perkara itu Choong Hann berkata kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly: "Perkembangan secara keseluruhan bagi tahun ini untuk pemain seperti Tze Yong, kami sudah tahu perkembangannya di mana dan masih ada beberapa kekurangan yang sedang kami perbaiki.

"Kami sedang mencuba untuk mempertingkatkannya, jadi ia memerlukan masa untuk dia mengubah dan membiasakan diri dengan kekuatan baru yang dia ada dan menutup segala kelemahannya dengan latihan.

"Bagi kami, bagi perlawanan kali ini, Tze Yong akan berdepan Kunlavut, jadi kami mahu dia buat yang terbaik dan seandainya dia dapat melakukan kejutan, ia satu bonus," katanya.