Skuad badminton para negara meraikan tiga kejuaraan dalam Kejohanan Badminton Terbuka Antarabangsa Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE), malam tadi.

Ia merupakan penyertaan pertama skuad badminton para negara selepas waktu rehat pandemik COVID-19.

Kejayaan itu diketuai Cheah Liek Hou menerusi klasifikasi perseorangan lelaki SU5.

Leik Hou menewaskan dua seteru utama dari Indonesia, termasuk Deva Anrimushti dalam final, untuk bergelar juara.

Bagaimanapun kemanisan sebenar buat pemain itu adalah kejayaan sebagai satu pasukan menuju ke Sukan Paralimpik Tokyo pada Ogos depan, di mana acara badminton para akan dipertandingkan buat julung-julng kalinya.

"Ia memang permulaan yang baik buat rakan sepasukan saya untuk mereka membina keyakinan," katanya kepada Nadi Arena.

"Mereka tidak pernah menang atau ke final kejohanan antarabangsa sebelum ini dan saya juga berharap agar tidak hanya saya sahaja yang sering layak ke final.

"Jika ada rakan sepasukan yang turut layak ke final, kami dapat meraikannya bersama-sama," katanya.

Turut bergelar juara dalam kejohanan itu adalah Ikhwan Ramli dalam kategori WH1 (kerusi roda) dan Noor Azlwan Noorlan dalam kategori WH2 (kerusi roda).