Harapan kem badminton Malaysia untuk mengintai pingat emas Sukan SEA Hanoi menerusi pertaruhan barisan muda masih bernyala selepas Chen Tang Jie dan Peck Yen Wei bermandi keringat di Gimnasium Bac Giang, sebentar tadi.

Mereka menyingkirkan pencabar dari Indonesia iaitu Rinov Rivaldy dan Pitha Haningtyas Mentari yang mengekori rapat sepanjang permainan hingga keputusan terikat 15-15.

Pihak lawan selaku pilihan pertama itu mula mengorak langkah sebelum menguasai set pertama 22-20.

Set kedua menyaksikan Tang Jie-Yen Wei mengatur permainan lebih kemas dan tidak memberi banyak ruang buat lawan mereka itu apabila merakam kemenangan 21-13.

Beza sembilan mata dalam set penentuan kemudian memastikan tempat Malaysia dalam final.




Dalam masa sama, beregu wanita kebangsaan, Cheah Yee See-Cheng Su Hui, pula membenarkan kebangkitan adik- beradik dari Thailand, Benyama-Nuntakarn Aimsaard, sebelum tunduk 16-21 dalam set pertama seterusnya memungut gangsa.

Set kedua kekal didominasi pasangan Aimsaard apabila berjaya mendahului 12-0 dan hanya membenarkan Yee See-Su Hui mengutip enam mata sebelum mengesahkan kemenangan.