Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, meletakkan tiga acara badminton sebagai prospek meraih pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo minggu depan.

Tiga acara yang dimaksudkannya itu adalah perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran berdasarkan prestasi terkini wakil negara ke temasya itu.

Skuad negara hanya akan berlepas ke Tokyo pada Sabtu ini, kurang seminggu sebelum temasya terbesar dunia itu membuka tirai.

Malaysia mempertaruhkan Lee Zii Jia dalam acara perseorangan lelaki, gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara beregu lelaki selain pasangan veteran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, dalam acara beregu campuran.

Dalam temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, Choong Hann berkata: "Kita mempunyai lima bahagian yang akan bersaing (dalam Sukan Olimpik) dan memiliki lebih peluang dalam acara perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran.

"Saya percaya kita mampu bersaing merebut pingat dalam ketiga-tiga acara ini.

"Saya rasa tidak adil untuk memilih secara spesifik satu acara kerana saya rasa kesemua mereka mempunyai peluang yang sama rata untuk bersaing (merebut pingat)," katanya.