Lee Zii Jia selaku perseorangan lelaki tunggal negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 berdepan tekanan besar demi mengharumkan nama Malaysia di sebalik impian membutirkan pingat emas pertama temasya itu yang bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Dia menempah slot ke Jepun yang bakal menjadi penampilannya buat kali pertama.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria, percaya sandaran Malaysia berusia 23 tahun itu tidak mudah terkesan dengan tekanan beraksi di peringkat tertinggi.

Sekalipun menggalas cabaran selaku pemain perseorangan lelaki tunggal, kejayaan Zii Jia dalam Kejohanan Seluruh England tahun ini mampu menjadi suntikan untuk membawa kejayaan di Tokyo kelak.

"Saya harap Zii Jia tahu tekanan yang dihadapi dan yakin dia mampu menanganinya.

"Kami juga tahu bahawa akan sentiasa ada sekurang-kurangnya seorang wakil, tidak seperti China yang dulu ada Lin Dan dan Chen Long.

"Saya harap pemain negara kekal fokus kerana kami pentingkan kualiti daripada kuantiti.





"Dalam edisi di Rio, pemain lain tidak diletakkan harapan kecuali Datuk Lee Chong Wei tapi mereka juga masuk final, contohnya Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

"Kami juga mengharapkan pemain senior seperti Peng Soon-Liu Ying mampu mengulangi pencapaian mereka, " katanya kepada wakil Astro Arena, Yeoh Pek Xian, hari ini.