Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, percaya skuad negara yang menggalas cabaran ke Sukan Komanwel mampu membutirkan sasaran dua pingat emas di bumi Birmingham.

Laungan keyakinan Norza hadir selepas pengunduran perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia daripada temasya itu ekoran komitmen penuh terhadap misi besar untuk merangkul Kejohanan Dunia yang berlangsung di Tokyo bermula 21 Ogos.

"Kami telah meletakkan sasaran dua pingat emas dan saya yakin skuad badminton negara akan terus membutirkan pingat di pentas Sukan Komanwel," kata Norza.

Sementara itu, Norza menzahirkan keterujaannya terhadap sambutan luar biasa peminat sukan badminton negara terhadap kejohanan Terbuka Malaysia yang akan membuka tirainya Selasa depan.

Di kesempatan itu, Norza berharap aura positif penyokong setia negara bakal menyuntik semangat jitu buat barisan pemain negara dalam misi melakar kejayan di laman sendiri -- untuk rekod penganjuran edisi terdahulu pada 2020, Kento Momota dan Chen Yufei dari China memenangi gelaran perseorangan lelaki dan wanita.