Perseorangan muda negara, Ng Tze Yong, bakal menggalas cabaran dalam Sukan Komanwel Birmingham untuk menggantikan Lee Zii Jia.

Pemain profesional tersebut memilih untuk menarik diri daripada temasya dari 28 Julai hingga 2 Ogos depan berkenaan demi memberi lebih tumpuan dalam pemburuan Kejohanan Badminton Dunia yang di Tokyo bermula 21 Ogos.

Keputusan itu disahkan oleh Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, sambil menjelaskan anak buahnya itu tidak diletakkan sebagai sasaran oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk misi mencapai dua pingat emas yang ditetapkan ke atas skuad badminton.

"Dia pastinya (akan turun) bukan sebagai pencabar pingat emas.

"Peluang ini muncul pada saat-saat akhir, seperti biasa kami memang mempersiapkannya untuk pertandingan yang ada.

"Sukan Komanwel kali ini satu bonus untuknya.

"Saya harap dia akan ambil kesempatan ini dan mencipta kejutan buat kami," katanya sempena lawatan Timbalan chief-de-mission (CDM) Sukan Komanwel, Gerard Monteiro, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Tze Yong sedia mengggalas tanggungjawab tersebut walaupun ini merupakan penampilan pertamanya di pentas Birmingham.

Tambah pemain ranking ke-48 dunia itu, dia enggan meletakkan peluang ini sebagai tekanan malah mahu membuktikan aksi terbaiknya.

"Kalau bertanyakan dia sendiri, dia juga pasti tertekan tetapi untuk perseorangan lelaki negara, pingat emas seharusnya menjadi sasaran jadi saya mengharapkan yang terbaik daripadanya," katanya.




"Saya rasa ini satu posisi (peranan) yang besar dan perlu menggalas tanggungjawab.

"Ini Sukan Komanwel pertama buat saya, saya harap dapat bermain dengan bagus.

"Saya tidak fikir (untuk memenangi pingat), saya rasa saya akan bermain tanpa tekanan," kata pemain berusia 22 itu.