Pemain beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia, dilaporkan sudah kembali menjalani latihan selepas pulih daripada jangkitan COVID-19 menjelang Sukan Komanwel Birmingham bermula Khamis depan.

Gandingan Aaron dan Soh Wooi Yik menjadi sandaran harapan buat kontinjen negara untuk meraih pingat emas acara beregu lelaki dalam temasaya itu selepas perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia, memilih untuk menarik diri.

Bagaimanapun, Aaron pada minggu lalu dijangkiti koronavirus, sekali gus menimbulkan kegusaran ia akan menjejaskan perjuarangannya di Birmingham.

Pengarah Kejurulatihan Bahagian Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, tampil mengesahkan bahawa Aaron sudah mula berlatih sejak tiga hari lalu dan kelihatan tidak terjejas dengan jangkitan berkenaan

"Tiada masalah mengenai keadaan Aaron," kata Rexy kepada wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz.

"Dia berlatih dengan baik sepanjang tiga hari ini.

"Memang pergerakannya ada sedikit teragak-agak tetapi pagi tadi, dia sudah kelihatan kembali normal," katanya.