Status selaku pendatang baru SS Purple League (SSPL) 2018-19 bukan kekurangan buat Bukit Mertajam All Stars BC (BMASBC).

Selepas tiga perlawanan, kelab dari utara tanah air itu membuktikan mereka bukan pasukan mentah dan perlu diberikan perhatian dalam SSPL musim ini.

Dalam aksi di Gem In Mall, Cyberjaya, sebentar tadi, BMASBC menewaskan Serdang BC 12-5.

Dalam dua aksi terdahulu, pasukan itu menewaskan Bandar Maharani BC 10-8 sebelum tewas 5-15 kepada juara bertahan, Puchong United BC.

Mengulas mengenai prestasi pasukan, pengurus BMASBC, Felix Ooi, berkata: "Pasukan kami lebih bersemangat selepas menewaskan Serdang BC hari ini.

"Sebelum ini, kami menyasarkan untuk berada dalam kelompok enam terbaik.

"Namun, kini saya mahu merancang strategi baru menjelang jendela perpindahan nanti.

"Saya gembira dengan apa yang dipersembahkan oleh barisan pemain kami.

"Kami tidak menyangka mampu memberikan saingan sengit walaupun ia merupakan musim pertama kami dalam SSPL.

"Apapun, kami tidak boleh terlalu seronok dan perlu mengkaji pasukan lawan yang akan dihadapi selepas ini," tambahnya.

Riyanto Subagya memberikan kemenangan awal buat BMASBC setelah menewaskan pemain berusia 17 tahun Serdang BC, Muhd Shaqeem Eiman Shahyar, 3-0 (11-10, 11-7, 11-8).

Pasukan dari Pulau Pinang itu terus mengutip kemenangan dalam acara perseorangan wanita, dengan Lim Ming Hui menundukkan Lyanny Alessandra Mainaky 3-2 (11-9, 7-11, 2-11, 11-6, 2-1) untuk menjadikan kedudukan keseluruhan 6-2.

Serdang BC kembali merapatkan kedudukan kepada 6-5 selepas beregu lelaki, Lwi Sheng Hao-Yap Qar Siong, mempamerkan aksi mantap mengatasi gandingan Chua Yue Chern-Roobenraj Velayutham 3-0 (11-8, 11-5, 11-8).

Tugas sukar dilalui Serdang BC apabila BMASBC terus mempamerkan aksi meyakinkan dalam acara beregu campuran untuk mengukuhkan kedudukan kepada 9-5 selepas Agrippina Prima Rahmanto-Tiara Rosalia Nuraidah mengatasi gandingan Pei Tianyi-Yuen Sin Ying 3-0 (11-6, 11-6, 11-8).

Pemain perseorangan utama BMASBC, Lucas Corvee, melengkapkan kemenangan pasukan itu menerusi kemenangan 3-0 (11-7 11-10 11-5) ke atas Wang Yihui.

Jadual SSPL, Jumaat (28 Disember 2018)
4:00 ptg: Ampang Jaya BC lwn Tebrau City BC
8:00 mlm: Puchong United BC lwn Kepong BC