Pemain perseorangan Selangor K. Letshaana, hanya memerlukan 15 minit untuk mengetepikan Gooi Xin Yi dari Kuala Lumpur untuk mengesahkan tempat dalam suku akhir Kejohanan Badminton Sirkit Remaja Kebangsaan Grand Prix Final di Kelab Rekreasi Cina Negeri Sembilan (NSCRC), Seremban, hari ini.

Dalam perlawanan pusingan ketiga acara perseorangan wanita bawah 16 tahun itu, Letshaana yang sudah menemui rentak permainan selepas gagal melakukannya sebelum ini, menang mudah 21-2, 21-6 untuk berdepan pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Lee Xin Jie.

"Keyakinan saya semakin tinggi. Saya hanya perlu fokus untuk mendapatkan rentak dan masih belum berada di prestasi terbaik tetapi saya yakin mampu mengharunginya," katanya.

Terdahulu, Xin Jie yang turut beraksi dalam Kejohanan Dunia Jemputan Shonan bawah 15 tahun di Jepun, dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan wakil Kedah, K. Yeshveeni, 21-15, 13-21, 21-15 untuk mara ke suku akhir.

Juara bertahan, Arena Satu Samin dari Sabah, turut berada dalam kelas tersendiri apabila menewaskan Tan Shen Thing daripada BAM 21-12, 21-9, sekali gus bakal berdepan pilihan kedua dari BAM, Joanne Ng May Yin, yang menewaskan pemain Selangor, Sik Xiao Hui, 21-13, 21-14.

Sementara itu, pilihan utama kejohanan Tan Zhang Yi (BAM) mara ke suku akhir selepas menang 21-18, 21-12 ke atas Chew Jia Hui dari Perak manakala pemain Johor, Oh Jia Qi, menewaskan Lim Qi Ling dari Selangor, 21-10, 21-15 untuk berdepan wakil BAM, Khor Jin Weng.

Saingan perseorangan lelaki bawah 16 tahun pula menyaksikan pilihan pertama kejohanan, Fazriq Mohd Razif, menempah slot suku akhir selepas menang 21-17, 21-17 ke atas A. Thaanesh Devar dari Melaka.

Fazriq, juara dalam Kejohanan Dunia Jemputan Shonan Bawah 15 tahun akan berdepan wakil Selangor, Haris Sufian Rushdan, yang menang ke atas Goo Vie Keat dari Kelantan, 21-15, 21-11.

-- BERNAMA