Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysi (BAM), Rexy Mainaky, mengesahkan taruhan lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, akan menyertai Kejohanan Seluruh England 2022 yang bermula Rabu depan.

Jaminan itu dibuat selepas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu tersebut terlepas peluang beraksi dalam Terbuka Jerman berikutan Wooi Yik positif COVID-19.

Begitupun, Rexy tidak perlu lagi khuatir memandangkan tempoh kuarantin Wooi Yik bakal tamat esok.

"Hari ini saya diberitahu (perkembangannya) bahawa dia dalam keadaan baik-baik sahaja dan sihat.

"Kalau esok dia tidak menunjukkan sebarang gejala, dia mungkin kembali berlatih pada Khamis ini.

"Mereka telah berlatih dengan tekal sebelum ini. Lagipun Wooi Yik tidak menunjukkan gejala jadi ia tidak menjejaskan fizikalnya.

"Kami cuma risau kalau sepanjang lima hari kuarantin ini akan menjejaskan tahap fizikalnya tapi daripada segi latihan, dia sudah bersedia sepenuhnya," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.




Pengendali dari Indonesia itu juga menganggap anak buahnya berkenaan masih mempunyai ruang untuk membuat persiapan akhir.

"Kami akan bertolak ke England pada Ahad ini.

"Dengan larangan beraksi yang dikenakan ke atas lawan mereka dari Russia, Aaron-Wooi Yik dijangka mendapat pelepasan khas jadi mereka punya masa untuk berlatih lagi."