Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, tidak berdepan masalah untuk melayakkan diri ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Seluruh England apabila menewaskan pemain dari Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito, secara set langsung di Arena Utilita Birmingham awal pagi tadi.

Ia merupakan pertemuan pertama kedua-dua pemain berkenaan dan berdasarkan kedudukan ranking semasa, Shesar Hiren memiliki ranking yang lebih baik dengan dua anak tangga di atas Tze Yong dengan menduduki ranking ke-26 dunia.

Bagaimanapun, aksi di atas gelanggang membawa cerita berbeza.

Tze Yong tidak pernah ketinggalan sejak memperoleh mata pertama dalam set pembukaan sebelum melebarkan penguasaannya dengan jauh mendahului 12-4.

Permulaan kukuh itu menyaksikan pemain negara itu menamatkan set berkenaan dengan kemenangan 21-9.

Sedikit tentangan diberikan Shesar Hiren dalam set berikutnya, di mana dia berhasil mengikat kedudukan 6-6 tetapi selepas itu, Tze Yong tidak lagi menoleh ke belakang untuk memungut mata demi mata sebelum menamatkan saingan selama 36 minit itu dengan kemenangan 21-12 dalam set kedua.

Tze Yong, bagaimanapun, akan menempuh ujian paling berat dalam usahanya untuk ke suku akhir apabila akan bertemu pilihan utama dan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axlesen, dalam pusingan kedua.