Beregu campuran negara, Goh Liu Ying-Ong Yew Sin, tidak mampu menyorok keterujaan mereka apabila berjaya meraih kemenangan pertama sebagai satu gandingan dalam Kejohanan All England.

Liu Ying-Yew Sin berkongsi kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz, mengenai perlawanan mereka yang pada awalnya kelihatan suram bagaimanapun berjaya kembali bangkit untuk meraih kemenangan.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini dan ia adalah permulaan yang baik," kata Liu Ying.

"Ini bukanlah satu kemenangang mudah, tetapi kami amat gembira dan mahu cuba untuk memperbaiki lagi persembahan menjelang perlawanan seterusnya," kata Yew Sin.

Itu reaksi Liu Ying dan Yew Sin yang berjaya menewaskan gandingan tuan rumah, Callum Hemming-Jessica Pugh 17-21, 21-17, 21-11 pada pusingan pertama All England.

Yew Sin-Liu Ying bakal bertemu dengan pilihan kedua kejohanan dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong pada pusingan kedua.

Bagaimanapun, Liu Ying dan Yew Sin mengakui masih banyak yang harus diperbaiki sebelum mereka mampu memberi cabaran yang sengit.

"Boleh saya katakan persefahaman kami masih lagi belum baik kerana bergandingan bersama Yew Sin yang sebelum ini banyak beraksi sebagai pemain beregu lelaki. Tetapi kami mula mendapatkan keserasian daripada set ke set dan berjaya mendapatkan kemenangan," kata Liu Ying.