Perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren, belum tentu membuat penampilan dalam Kejohanan Badminton Seluruh England 2019 gara-gara kecederaan, sekali gus membuka peluang buat Lee Zii Jia untuk menggantikan tempatnya.

Perkembangan membabitkan Daren itu disahkan jurulatihnya di Kelab Sports Affairs, Rashid Sidek.

Daren difahamkan masih bergelut dengan kecederaan pergelangan kaki kiri yang memaksanya menarik diri dalam separuh akhir Kejohanan Masters Malaysia, 19 Januari lalu.

"Saya sempat menghubunginya semalam dan dia masih berasa kesakitan terhadap kecederaannya itu.

"Tetapi, tahap kecederaannya bertambah baik, cuma tinggal lagi 20 peratus untuk pulih sepenuhnya.

"Lagipun, dia tidak mahu terlalu mendesak sehingga boleh mengakibatkan kecederaan berlarutan.

"Mungkin dia akan kembali menjalani latihan penuh minggu depan," jelas Rashid.

Sehubungan itu, Zii Jia, yang ditempatkan di kedudukan kedua senarai simpanan, dianggap berpeluang cerah untuk ke Seluruh England pada saat-saat akhir jika Daren menarik diri.

Ini kerana pemain simpanan pertama, Rajiv Ouseph, sudah pun berada dalam kalangan pusingan utama Seluruh England.