Perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei, menyimpan hasrat untuk merebut peluang yang terhidang sekiranya terdapat perubahan dari segi penyenaraian nama meskipun dia tidak berada dalam senarai atlet Program Road To Gold (RTG) 2024, di Paris nanti.

Bergerak sebagai pemain profesional ternyata memberikan kekangan buat atlet berusia 23 tahun itu dalam memastikan pecutan akhir yang berbaki lebih kurang tiga bulan sebelum bermulanya temasya tersebut.

Menurutnya, dalam usaha untuk memantapkan persiapan untuk memburu pingat di Sukan Olimpik Paris, dia ternyata memerlukan bantuan yang sewajarnya dari aspek kepakaran Institut Sukan Negara (ISN).

"Saya rasa ia bergantung kepada ISN dan kerajaan untuk meletakkan saya dalam senarai RTG kerana ia bakal memberi kesan positif pada saya.

"Sekarang kami perlu mendapatkan pakar fisiologi tetapi terdapat kekangan dari segi peruntukan." katanya.