Jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, enggan menaruh harapan tinggi bagi menggandingkan semula Vivian Hoo bersama Woon Khe Wei andai kata Khe Wei mampu pulih sebelum kelayakan Sukan Olimpik Tokyo, Mei tahun depan kerana mahu meletakkan tumpuan kepada beregu sedia ada sahaja.

Rosman tidak pasti adakah kecederaan lama lutut kanan yang dialami Khe Wei akan berlarutan dalam tempoh masa yang panjang atau sebaliknya.

Namun, sekiranya Khe Wei mampu kembali ke gelanggang pada awal tahun depan, Rosman tiada perancangan untuk menggandingkan semula pemain itu bersama Vivian kerana masa kian suntuk menjelang kelayakan Olimpik Tokyo pada Mei 2019.

Apatah lagi, perancangan terbaik harus dimulakan dari sekarang di mana fokus utama Rosman ketika ini adalah kepada Vivian dan gandingan barunya, Yap Cheng Wen, serta beregu nombor satu negara ketika ini, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

"Sudah tiada masa. Kami sedang mengejar masa. Vivian dan Cheng Wen masih lagi jauh ketinggalan dalam kedudukan ranking. Kami sedang berusaha untuk memastikan mereka dalam kelompok 50 terbaik untuk menyertai kejohanan serta saingan kelayakan Sukan Olimpik," kata Rosman.

Khe Wei dilihat hadir bertemu rakan pasukan dan jurulatih sewaktu sesi latihan pemain di Akademi Badminton Malaysia, Khamis lalu, namun dia enggan ditemubual.

Rosman turut menjelaskan perancangannya kepada pemain berusia 29 tahun itu selain ingin dia terus fokus kepada proses pemulihan sebaik mungkin.

"Khe Wei faham dengan situasi ini. Saya akan memberitahu pekara yang benar dan dia akan terus menjalani proses pemulihan."