Timbalan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, enggan berpeluk tubuh apabila bakal turun ke kejohanan kebangsaan bagi mengintai bakat baru untuk diserapkan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Rexy menjelaskan bahawa ia terlalu lambat sekiranya ABM hanya menunggu pada setiap hujung tahun untuk program mengenal pasti bakat.

"Kalau ada masa saya mungkin akan turun ke kejohanan tempatan (untuk mencungkil bakat muda) kerana kalau hanya menunggu, kita tidak akan dapat apa-apa (hasil).

"Kami akan lebih banyak memantau bakat muda.

"Saya sudah berbincang dengan BAM dan jika ada pemain luar biasa yang boleh diserap.




"Kami tidak boleh bazirkan masa sedangkan negara luar ada yang melahirkan juara pada usia 19 tahun (sedangkan) kita baru nak mulakan (program).

"Jadi kami agak terlambat," katanya di Bukit Kiara hari ini.

Rexy turut berkongsi bahawa selepas ini latihan pemain senior dan remaja akan diselaraskan.

Ia bertujuan memudahkan barisan kejurulatihan untuk memantau pemain senior dan remaja gara-gara kekurangan jurulatih untuk mengemudi pemain remaja negara.

"Jadual latihan remaja dan senior sama, jadi kami berkesempatan meninjau pemain dalam lingkungan 16-18 tahun ini yang mungkin boleh digilap lagi sekirannya berdepan pemain lebih baik.

"Kalau terus berlatih dengan rakan sebayanya, fokusnya akan hilang kerana berasa selesa," katanya.