Lim Chi Wing memulakan langkah cemerlang 15-3 Kelab Badminton (BC) Puchong United dalam Kejohanan Badminton Purple League apabila menafikan kebangkitan Phan Phuc Tin untuk kemenangan 3-1, hari ini.

Chi Wing seboleh-bolehnya berusaha mengelak permainan diheret ke set lima apabila menang 11-7 untuk mata pertama Puchong United ketika berdepan Kelab Badminton Ho Chi Minh City di Stadium Malawati.

Selepas itu, Soniia Chia, yang bermula perlahan memberikan Vu Tri Tang cuma 8 minit untuk mendominasi set pertama 11-8.

Pemain kebangsaan itu, bagaimanapun, tidak mudah mengalah untuk mengikat kedudukan dengan kemenangan 11-8 tetapi momentum berkenaan tidak dapat dikekalkan apabila terpaksa akur tunduk 3-11.

Kekalahan itu tidak merencatkan keazaman Puchong United menerusi gandingan beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, yang berdepan Duc Hong Phuc-Chi Tung.

Perlawanan yang mengambil masa selama 13 minit itu mudah didominasi mereka apabila menang 11-3, 11-3 dan 11-3.

Kemudian, Tan Kian Meng-Goh Liu Ying yang tewas tipis 10-11 dalam set pertama bahagian beregu campuran kembali menyusun permainan untuk memenangi baki tiga set.