Pertemuan Purple League bagi klasifikasi tempat kelima dan keenam berakhir dengan kemenangan memihak Kelab Badminton (KB) Petaling apabila menundukkan KB Ampang Jaya 10-7 di Arena Of Stars, Genting Highlands, hari ini.

Bermula dengan perlawanan perseorangan lelaki, KB Petaling meletakkan bintang Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk, untuk bertemu Tan Jia Wei. Segala-galanya serba menjadi buat Tanongsak apabila menang mudah 3-1 (11-9, 11-6, 5-11, 11-5) bagi memberi kelebihan awal buat KB Petaling.

Acara perseorangan wanita pula menyaksikan persembahan menarik ditampilkan Xu Wei dari KB Ampang Jaya, namun masih gagal menyekat kemenangan wakil KB Petaling, Zhang Beiwen. Beiwen menang 3-2 (11-7, 11-5, 4-11, 4-11, 11-8) untuk terus merancakkan pertembungan kedua-dua pasukan.

Mata yang dicari-cari KB Ampang Jaya akhirnya hadir menerusi pasangan beregu lelaki, Lukhi Apri Nugroho-Muhd Syawal Mohd Ismail, yang menang mudah 3-0 (11-7, 11-3, 11-8) ke atas Ian Wong Jien Sern-Soh Wooi Yik.

Kehadiran Chan Peng Soon yang bergandingan dengan Wong Kha Yan bagi beregu campuran masih gagal menghadirkan kegembiraan buat KB Ampang Jaya apabila tunduk mudah 0-3 (2-11, 9-11, 5-11) berdepan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.

Selepas itu, pertembungan Kenichi Tago dan Yan Runze berakhir dengan keputusan seri 1-1 (8-11, 11-6 tarik diri) untuk memuktamadkan keputusan 10-7 memihak KB Petaling.

Keputusan penentuan tempat kelima:

KB Ampang Jaya kk KB Petaling 7-10

MS1: Tan Jia Wei kk Tanongsak Saensomboosuk 1-3 (9-11, 6-11, 11-5, 5-11)
WS: Xu Wei kk Zhang Beiwen 2-3 (7-11, 5-11, 11-4, 11-4, 8-11)
MD: Lukhi Apri Nugroho-Muhd Syawal Mohd Ismail mn Ian Wong Jien Sern-Soh Wooi Yik 3-0 (11-7, 11-3, 11-8)
XD: Chan Peng Soon-Wong Kha Yan kk Chen Tang Jie-Peck Yen Wei 0-3 (2-11, 9-11, 5-11)
MS2: Yan Runze seri dengan Kenichi Tago 1-1 (8-11, 11-6 tarik diri)